Tahun ini masyarakat Cina menyambut tahun arnab. Arnab (兔) ialah bintang haiwan yang keempat dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina. Bintang arnab dilambangkan oleh dahan duniawi. Arnab atau kelinci merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam famili Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha.
Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi acip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.
Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal dari bahasa Arab, iaitu arnab. Perkataan "kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal dari bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti "anak arnab". Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972. Nama saintifik famili "Leporidae" pula berasal dari perkataan lepus, iaitu arnab dalam bahasa Latin.
Dalam budaya rakyat, arnab sering dijadikan watak penipu yang menggunakan kelicikan untuk mengatasi musuhnya.
Dalam mitos Aztek, satu dewata 400 dewa-dewi arnab yang bernama Centzon Totochtin, diketuai oleh Ometochtli atau Dwi-Arnab, melambangkan kesuburan, keraian, dan kemabukan.
Dalam mitos Cina, seekor ‘arnab jed’ mengiringi dewi Chang'e di Bulan. Arnab juga ialah satu daripada dua belas bintang dalam zodiak Cina. Harus diambil perhatian bahawa versi Vietnam bagi zodiak Cina menggantikan arnab dengan kucing, kerana arnab bukan haiwan asli di Vietnam.
Kaki arnab dibawa sebagai azimat yang dipercayai membawa tuah. Amalan ini terdapat di merata dunia, semenjak seawal-awal tahun 600 SM di Eropah.
Dalam mitos Jepun, arnab tinggal di Bulan untuk membuat pulut mochi. Ini berasal dari corak tompok-tompok gelap pada permukaan bulan yang menyerupai arnab yang berdiri berjengket-jengket sambil menumbuk lesung. Mitos Korea ada cerita yang seumpama ini, cuma arnab di bulan membuat kuih tteok.
No comments:
Post a Comment